Tuesday 12 July 2016

POLISI & OBJEKTIF - 5S PSUKPs

PENGENALAN : PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PERLIS



PENGENALAN

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah ditubuhkan pada tahun 1938, pada era kolonial Inggeris di Tanah Melayu. Ketika itu ia dikenali sebagai Pejabat British yang bertanggungjawab untuk mengendalikan hal ehwal Pentadbiran Kolonial British di Negeri Perlis. Anak Melayu pertama yang telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis ialah Yang Berhormat Tuan Osman bin Talib yang berkhidmat pada 1 Febuari 1948 hingga 19 November 1949.
 
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis merupakan jentera terpenting di bawah Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan urusan pentadbiran dan pembangunan Negeri Perlis, bagi membawa kemakmuran kepada rakyat keseluruhannya dan menyumbang kepada usaha pembangunan negara.


Struktur pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian Pengurusan dan Pembangunan. Bahagian Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan tugas-tugas pentadbiran dan keurusetiaan melalui Pejabat Menteri Besar, Bahagian Dewan Undangan Negeri, Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Sumber Manusia, Unit Perhubungan Korporat, Unit Protokol dan Majlis Sukan Negeri. Manakala Bahagian Pembangunan melaksanakan tugas-tugas perancangan dan pelaksanaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri, Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Unit Pentadbiran Daerah dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat.


Sebagai jentera Kerajaan yang terpenting, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis juga berperanan sebagai penyelaras kepada agensi-agensi Negeri dan Persekutuan bagi memastikan kelancaran pentadbiran seluruh jentera Kerajaan Negeri.